Friday, January 1, 2010

TUJUH PANDUAN UNTUK NAQIB



Adaptasi (ringkasan dan penyesuaian) daripada tulisan Ummu
Azmi, "Petua Menjadi Ketua Usrah Yang Berjaya" dalam majalah Ummi,
Julai 1990, 34-35.
 
 
Panduan 1: Kenali Ahli Usrah
Naqib perlu mengenali ahli usrahnya dengan mendalam. Selidiki latar
belakang mereka: diri, keluarga, pendidikan, pekerjaan, perkara yang
disukai, perkara yang dibenci dan sebagainya. Ikuti perkembangan
hidup mereka: kebajikan, kewangan dan seumpamanya. Maklumat-maklumat
itu boleh digunakan untuk mentadbir usrah secara lebih berkesan.
Berpandukan maklumat itu, naqib boleh bertindak dengan tepat--sesuai
dengan peribadi tertentu.
 
Panduan 2: Rancang Program Pengisian
Naqib mesti merancang program usrahnya sebelum usrah itu bermula.
Antaranya, agihkan masa yang sesuai untuk slot bacaan al-Quran dan
pentafsirannya, bacaan hadis, perbincangan tajuk khusus, pembersihan
hati, dan hal ehwal semasa. Tetapkan terlebih dahulu tajuk yang
hendak dibahaskan dan bahan-bahan rujukannya. Senaraikan juga perkara-
perkara untuk diumumkan kepada ahli usrah. Naqib juga perlu membaca
bahan rujukan yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.
 
Panduan 3: Segarkan Usrah dengan Suasana Perbincangan
Naqib berperanan untuk menyegarkan suasana usrah dengan perbincangan
yang sihat dan terkawal. Pastikan perbincangan berfokus pada tajuk
yang telah dirancang. Semasa berbincang, ahli digalakkan mengemukakan
nas-nas yang sahih dan contoh-contoh dari sirah Rasulullah s.a.w.
Usahakan agar perbincangan itu dikaitkan dengan realiti semasa dapat
dihayati dalam kehidupan seharian.
 
Panduan 4: Beretindak sebagai Pemimpin Tempat Bernaung
Naqib perlu menjadi qudwah hasanah kepada ahli-ahlinya dalam segala
segi baik perbuatan, percakapan, perbelanjaan, cara bergaul dan
berpakaian. Jalinkan ukhuwah sesama mereka, dalam atau luar usrah.
Naqib juga perlu bertindak selaku kaunselor. Berbincanglah dengan
mereka secara persendirian atau berkumpulan. Tanda awal seseorang
naqib itu berjaya ialah apabila para ahli menjadikan dirinya sebagai
tempat merujuk.
 
Panduan 5: Berikan Kerja kepada Ahli
Naqib perlu memberikan tugasan yang sesuai dengan minat dan kemahiran
ahlinya. Ahli itu akan berasa dihargai apabila diamanahkan dengan
sesuatu tugas untuk kumpulannya. Ahli itu perlu diselia secara wajar
dan minimum oleh naqib. Dengan cara ini, ahli usrah akan belajar
berkomunikasi dengan lebih banyak orang dan sentiasa membina hubungan
dengan naqib.
 
Panduan 6: Pelbagaikan Kesan Sampingan
Naqib boleh juga mendidik ahli usrah dengan cara-cara lain. Antara
cara yang sesuai adalah seperti yang berikut:
 
6.1 Soalan. Kemukakan soalan kepada ahli-ahli usrah tentang tajuk-
tajuk yang telah dibincangkan, termasuk isu semasa.
 
6.2 Penyelesaian Masalah. Kemukakan masalah yang berkaitan dengan
kehidupan seseorang ahli untuk diselesaikan. Contohnya, jika ahli itu
pekerja yang sibuk, bincang dan selesaikan masalah agihan masa untuk
tugas dan dakwah. Kes spesifik atau cerita boleh juga dikemukakan.
 
6.3 Permainan. Adakan "permainan" yang dapat menguji kepintaran ahli-
ahli usrah. Permainan itu boleh menggunakan komputer, secara
bertulis, lisan, mengira dan sebagainya. Pendekatan ini dijangka
dapat mengekalkan minat ahli-ahli usrah.
 
6.4 Berkhemah dan Berkelah. Kegiatan perkhemahan di pinggir hutan
atau perkelahan di pantai sangat berkesan dalam membina ikatan
persaudaraan sesama ahli usrah. Kegiatan-kegiatan seperti ini memberi
peluang untuk mereka berinteraksi, melakukan kerja secara berpasukan
dan membina sikap suka tolong-menolong.
 
Panduan 7:  Sediakan Laporan Penilaian
Naqib perlu melakukan penilaian dari semasa ke semasa. Prestasi ahli-
ahli usrah dari segi kefahaman, kesungguhan, potensi, minat,
kelemahan, kekuatan perlu dinilai dan dilaporkan kepada mereka. Naqib
sendiri perlu meminta komen daripada ahli-ahli usrah tentang cara
pengendaliannya, tajuk perbincangan dan sumber rujukan. Berdasarkan
komen itu, langkah penambahbaikan boleh dirancang dan dilaksanakan.
 
Catatan
"Tugas mendidik adalah tugas mulia di sisi Allah walaupun rumit dan
memerlukan banyak pengorbanan dan persiapan. Ketua usrah hendaklah
sentiasa berusaha mempertingkatkan diri sendiri. Kita hendaklah
sentiasa menggantungkan setinggi-tinggi harapan kepada Allah agar
dibekalkan dengan kekuatan untuk terus bekerja dan berjihad untuk
Islam. Janji Allah memang benar. Sesiapa yang menolong Allah, nescaya
Allah akan menolongnya dan meninggikan kedudukannya." Ummu Azmi.

No comments:

Post a Comment