Sunday, November 1, 2009

HAPUSKAN KEJAHILAN TEGAKKAN PENGAMALAN

Wahai Nabi Allah! Siapakah orang yang paling pandai?” tanya kaum Nabi Musa a.s. Baginda menjawab;
“Akulah yang paling pandai di kalangan manusia”. Lalu Allah s.w.t. menegur baginda Musa a.s. atas perkataannya itu. Nabi Musa a.s. memohon ampun dan Allah s.w.t. pun mewahyukan kepada baginda tentang seorang hambaNya bernama Khidir a.s., seorang lelaki yang lebih banyak ilmunya daripada baginda.

Itulah kisah seorang Nabi Allah yang diceritakan di dalam Al Quran Surah Al Kahfi bermula ayat 60. Maha SuciTuhan yang tidak akan berkata dengan KalamNya dengan kata-kata yang tidak mempunyai makna dan tujuan. Kisah itu dikhabarkan agar kita sentiasa merendah diri dengan ilmu yang kita miliki.

Lebih-lebih lagi bagi kita yang diberikan amanah sebagai seorang guru atau pendidik. Hendaklah kita sentiasa sedar bahawa setinggi mana pun peringkat pendidikan kita, hatta seorang yang bergelar profesor, namun kita tidak seharusnya mendabik dada dengan ilmu yang kita ada. Kerana ia tidak ubah seperti setitis air di hujung jarum berbanding lautan yang luas.

Insaflah kita, bahawa ilmu yang kita ada adalah milik Allah yang diamanahkan kepada kita untuk disampaikan kepada manusia sejagat. Itulah tugas dan amanah bagi mereka yang sudah berilmu. Sampaikanlah dengan rasa tawadhuk kepada Allah. Sudah seharusnya bagi kita yang berilmu, semakin bertambah ilmu semakin kenal kita pada Allah. Semakin kenal pada Allah, semakin dekat kita padaNya. Dan semakin dekat kita, semakin banyak ketaatan yang kita lakukan dan semakin terhakisnya kejahatan dan kemaksiatan.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak bertambah hidayah (ketaatannya), maka sesungguhnya dia akan semakin jauh daripada Allah.” Wal’yazubillah. Mari kita hisab diri kita wahai insan yang bergelar guru. Sejauh mana ilmu yang kita ada dapat membantu kita mengenali Pencipta? Semakin tinggikah akhlak kita terhadap Khalik dan makhluk? Atau ilmu hanya tinggal ilmu, sedangkan akhlak merudum ke peringkat yang paling hina?

Kita di sini bukanlah untuk berseronok atau hanya untuk menghitung rezeki. Tetapi ditakdirnya kita di sini adalah dengan satu tanggungjawab yang bukan diamanahkan oleh majikan kita, tetapi oleh Allah; raja segala raja. Tanggungjawab untuk menghasilkan insan-insan yang berilmu dan yang tahu menggunakan ilmu itu untuk mengenali Allah serta menambahkan ketaatan kepadaNya.

Kita bukan mendidik mereka hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan. Tetapi matlamat kita seharusnya lebih jauh dari itu. Matlamat kita ialah agar dengan ilmu yang meluncur dari bibir kita ke hati mereka, kelak insyaAllah mereka akan berjaya di negeri akhirat.

Kita sentiasa menarik nafas lega bila kejayaan mereka diumumkan di penghujung semester. Tetapi pernahkah kita terfikir untuk menarik nafas lega sekali lagi, bila kejayaan mereka mendapat rahmat Allah, diumumkan di padang mahsyar. Di kala itu, beruntunglah orang-orang yang sentiasa menunjuk ajar manusia agar mempergunakan ilmu untuk menuju Allah. Bahkan, keuntungan itu sudah pasti kita rasai terlebih dahulu di alam kubur, kerana ilmu yang bermanfaat itu, adalah amalan yang tidak akan terputus ganjaran pahalanya.

Jadikanlah ini sebagai matlamat utama. Didiklah pelajar-pelajar kita dengan didikan yang sempurna bukan semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan dunia, tetapi juga untuk lulus dalam peperiksaan akhirat.

Sampai bilakah orang yang berilmu akan terus berdiam diri melihat akhlak anak didik mereka sentiasa tercemar. Jangan khianati amanah Allah. Bantulah mereka untuk mengenaliNya. Kalau mereka membuat kesilapan, kesilapan mereka adalah kerana kejahilan. Tetapi yang lebih bersalah dan yang lebih besar dosanya, ialah kita. Kerana kita punya ilmu dan kita tahu yang mana baik dan yang mana buruk, tetapi kita tidak menyeru mereka ke arah kebaikan dan
mencegah mereka dari melakukan kemungkaran.

Sekali lagi, dosa kemungkaran disebabkan kejahilan tidaklah seberat dosa membiarkan kemungkaran sedangkan ia mempunyai pengetahuan.Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment